Macam mana ‘frontliner’ solat?

Susunan MOHD. RIDZWAN IMAN

ASSALAMUALAIKUM semua. Ini merupakan artikel pertama saya yang akan dikongsi melalui blog sembangchewann@blogspot.com yang mana ilmu, berita atau maklumat ini demi faedah bersama.
Antara fokus blog ini akan perkongsian ilmu-ilmu berkaitan dengan pengetahuan agama, tips kesihatan dan isu semasa yang dipetik dari tulisan, ceramah atau wawancara dari individu-individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing di pelbagai media.
Memandangkan saya bukanlah seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama atau kesihatan, maka terdapat kemungkinan artikel saya akan mempunyai kesilapan dan saya terlebih dahulu memohon maaf dan juga mohon ditegur.
Hari ini saya tertarik dengan isu solat untuk frontliner yang diutarakan melalui rancangan Borak Kopitiam di TV3 yang mana pengacara program telah menemubual Ustaz Jafri Abu Bakar, seorang pendakwah bebas.
Sudah tentu kita semua tahu mengenai peranan penting yang dimainkan oleh para petugas di barisan hadapan yang dikenali sebagai ‘frontliner’ yang terpaksa bertugas ketika wabak penyakit Covid-19 melanda seluruh dunia.
Tidak kiralah sama ada mereka adalah anggota polis, tentera, imigresen, Pertahanan Awam dan sebagainya yang terpaksa menjaga sempadan dan laluan jalan raya atau para petugas kesihatan di hospital.
PETUGAS Kesihatan turut melakukan pembersihan kesan virus di masjid-masjid. - GAMBAR AFP dipetik dari laman web TheEconomist

Sesetengah daripada golongan ini adalah terdiri dari mereka yang menghadapi masalah melakukan solat kerana tidak boleh menanggalkan pakaian peralatan keselamatan (PPE) atau meninggalkan tempat bertugas dan bagaimana mereka berwuduk atau solat ketika bertugas?
Adakah kaedah solat mereka sama seperti kaedah solat medan atau solat bagi anggota tentera atau solat khauf (ketakutan) iaitu solat yang ditunaikan ketika berada di medan peperangan?
Ulama-ulama fiqh sepakat menyatakan solat khauf ukan semata-mata dikhususkan untuk tentera yang bertugas menghadapi musuh tetapi juga boleh digunakan oleh mereka yang menghadapi ancaman kebakara, binatang buas dan lain-lain ancaman yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kehancuran.
Maklumat bagaimana anggota tentera kita melakukan solat khauf boleh diperoleh dengan melawat laman web https://malaysiamilitarypower.blogspot.com/2016/01/solat-medan-atau-juga-dikenali-sebagai.html.
Sudah tentu cara solat yang dilaksanakan adalah mengikut yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah dan sahabat ketika berperang menegakkan syiar Islam.
Bagi yang ingin mengetahui bagaimana mengambil wuduk ketika pakaian mereka tidak boleh dibuka (seperti anggota tentara di perbatasan yang tidak boleh membuka pakaian atau kasut ketika bertugas) melakukan cara wuduk menggunakan khuf (menyapu di luar), anda boleh mengunjungi laman youtube https://www.youtube.com/watch?v=nD2qbcIR64U.

Berbalik kepada isu petugas frontliner kita, Ustaz Jafri menyenaraikan empat keadaan bagaimana solat boleh dilakukan oleh frontliner yang berbeza-beza mengikut tahap keperluan dan tempoh seseorang itu bertugas dan kebolehan menukar pakaian peralatan keselamatan (PPE).
Ini kerana difahamkan pakaian PPE tersebut adalah hanya untuk sekali pakai dan buang, dan sudah tentu menyukarkan petugas yang memakaikan untuk mengambil wuduk berulan-kali selepas mereka memakainya.
Katanya, kemudahan memilih jenis-jenis solat untuk frontliner adala berbeza dan seseorang tidak seharusnya memilih jenis solat yang memudahkannya sahaja walaupun beliau sebenarnya tidak layak.
Ustaz Jafri membahagikan jenis-jenis solat yang boleh dilakukan oleh frontliner kepada empat jenis:-
1-  Solat seperti biasa. Mana-mana petugas yang tidak mempunyai masalah mengambil wuduk dan boleh berhenti untuk melakukan solat dalam waktunya seharusnya solat seperti biasa.
2- Jamak suri – Jamak suri (jamak pada gambaran) merupakan melakukan solat di waktu pertama di akhir waktu dan melakukan solat kedua di awal waktu.
Misalnya seseorang boleh melakukan solat zohor di akhir waktu dan solat asar di awal waktu bagi menjimatkan beliau untuk menukar pakaian PPE berulang kali. Solat ini kelihatan seperti jamak kerana dilakukan dalam waktu yang dekat tetapi sebenarnya dilakukan di dua waktu solat yang berbeza.
3 – Jika petugas tidak dapat melakukan solat seperti jamak suri itu, mereka dibenarkan melakukan solat jamak (kumpul) tanpa qasar (ringkas).  Mereka tidak boleh melakukan jamak qasar kerana ia hanya diikhususkan kepada musafit. Maka petugas boleh melakukan sama ada jamak takdim atau jamak takhir tetapi melakukan rakaat yang sama seperti solat biasa.
Kebanyakan petugas kesihatan telah maklum mengenai kaedah ini terutama bago petugas seperti doktor atau jururawat di bilik bedah yang tidak boleh meninggalkan pesakit walaupun waktu solat telah habis ketika mereka sedang menjalankan pembedahan.
4 – Solat hormat waktu. – Penulis tertarik dengan penjelasan mengenai kaedah solat ini kerana ia diajarkan oleh Tabung Haji ketika penulis menunaikan ibadat haji tahun lepas.
Pengetahuan ini diberikan kepada umat Islam yang menunaikan haji kerana mereka kebiasaannya mengambil masa yang lama ketika di dalam kapal terbang atau ketika berada di lapangan terbang yang menyebabkan sering terlepas waktu solat.
Petugas kesihatan juga boleh menggunakan kaedah solat ini jika mereka mempunyai masalah mengambil wuduk kerana tidak boleh menukar pakaian PPE dan sebagainya.
Solat hormat waktu merupakan solat yang dilakukan dalam hadas (tanpa wuduk atau tayamum) atau solat yang tidak boleh dilakukan dalam keadaan menghadap kiblat.
Penjelasan mengenai solat hormat waktu dan solat dalam pesawat boleh diperoleh di laman web https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1834-bayan-linnas-siri-ke-53-solat-di-atas-kapal-terbang-hukum-dan-caranya.
Menurut artikel di laman web Mufti Wilayah Persekutuan itu dan juga seiring dengan pendapat Ustaz Jafri Abu Bakar yang dikongsi dalam rancangan Borak Kopitiam TV3, terdapat dua pendapat mengenai keperluan menqada semula solat hormat waktu ini.
Pendapat pertama ialah perlu menqada semula solat itu setelah keadaan mengizinkan (boleh mengambil wuduk atau tayamum)  dan ini merupakan pendapat paling sahih mengikut ulama mazhad Imam Al-Shafie.
Pendapat kedua ialah wajib solat hormat waktu dan tidak wajib menqadanya semula. Ia merupakan piihan Imam Al-Muzani.

Demikianlah keindahan Islam, yang sentiasa memberi kemudahan kepada para penganutnya untuk menunaikan ibadat yang paling penting iaitu solat mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Diharap perkongsian ilmu kali ini bermanfaat untuk kita semua. – CHE WANN


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

PKP-4: 8 jenis perniagaan perlu dibuka segera!

Rahsia orang Mekah rawat sendiri penyakit